Kenaikan harga bahan api : Kemboja gantung sementara denda kesalahan trafik

KEMBOJA  mengumumkan penggantungan sementara denda kesalahan trafik jalan raya sebagai langkah meringankan beban rakyat susulan kenaikan mendadak harga bahan api akibat konflik di Asia Barat.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Touch Sokhak berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan tekanan tambahan terhadap pemandu yang sedang berdepan peningkatan kos hidup.

“Langkah ini bertujuan mengurangkan beban kepada pemandu yang terkesan dengan kenaikan harga bahan api,” katanya lapor khmertimes yang memetik laporan Xinhua.

Menurut beliau, walaupun denda digantung sementara, polis trafik akan terus bertugas bagi mendidik pengguna jalan raya, mengawal kesesakan lalu lintas serta menjalankan ujian pernafasan alkohol dan pemeriksaan keselamatan pada waktu malam.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan memaklumkan harga petrol biasa kini meningkat kepada 5,450 riel seliter, bersamaan kira-kira RM6.35, naik 0.92% berbanding minggu sebelumnya. Harga diesel pula melonjak kepada 7,100 riel seliter (sekitar RM8.35), meningkat 5.97%, manakala gas petroleum cecair (LPG) berada pada 3,200 riel seliter (kira-kira RM3.75).

Sejak tercetusnya konflik di Asia Barat, harga petrol, diesel dan LPG di negara itu masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 41.5%, 84% dan 60%.

Sebagai langkah menangani situasi tersebut, kerajaan Kemboja telah mengurangkan duti import dan cukai ke atas produk petroleum bagi mengurangkan kesan turun naik harga global. Negara itu bergantung sepenuhnya kepada import bahan api kerana rizab minyak luar pesisirnya masih belum diterokai.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img