DUNIA harus bersedia menghadapi situasi buruk berikutan konflik Asia Barat, apabila Iran memberi bayangan tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat walaupun Pakistan menjadi orang tengah.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian menyatakan bahawa percanggahan kenyataan dan tindakan Amerika Syarikat telah menghakis kepercayaan Iran, khususnya selepas Tehran berdepan serangan ketenteraan sebanyak dua kali ketika rundingan sedang berlangsung.
Dalam perbualan telefon hari ini bersama Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan serantau serta kesan pencerobohan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Pezeshkian merakamkan penghargaan terhadap sokongan rakyat Pakistan serta usaha negara sahabat dan jiran dalam membantu menghentikan perang yang disifatkannya sebagai “dipaksakan”.
Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap penggunaan wilayah beberapa negara Islam oleh pihak penyerang untuk melancarkan serangan ke atas Iran.
Menurut Pezeshkian, tindak balas pertahanan Iran terhadap sumber serangan adalah sesuatu yang wajar, namun menegaskan bahawa Tehran menganggap negara-negara Islam sebagai saudara dan tidak menginginkan sebarang kemudaratan terhadap umat Islam.
Pezeshkian turut memberi amaran mengenai kemungkinan Israel memperluaskan konflik ke negara-negara serantau, sambil menggesa negara Islam memastikan wilayah mereka tidak digunakan sebagai pangkalan serangan terhadap negara lain.
Beliau juga menekankan potensi kerjasama besar antara negara Islam dalam menghadapi ancaman bersama, khususnya daripada tindakan agresif Israel.
Dalam masa sama, Pezeshkian berterima kasih kepada Pakistan atas usaha pengantaraan bagi menghentikan konflik, sambil menegaskan bahawa Iran telah diserang ketika rundingan diplomatik berkaitan program nuklearnya masih berlangsung.
Beliau menambah bahawa walaupun pegawai Amerika mendakwa tidak menyasarkan infrastruktur ekonomi dan tenaga, hakikatnya terdapat serangan ke atas kemudahan tersebut di Iran, sekali gus meningkatkan ketidakpercayaan Tehran terhadap Washington.
Sementara itu, Sharif menegaskan pendirian tegas Pakistan yang mengutuk sebarang pencerobohan ketenteraan terhadap Iran, termasuk serangan terbaru Israel ke atas infrastruktur ekonomi di bandar Ahvaz dan Isfahan.
Beliau turut menyatakan solidariti penuh kerajaan dan rakyat Pakistan terhadap Iran serta berharap pengaturan laluan selamat bagi kapal dagang melalui Selat Hormuz dapat diteruskan.
Sharif menegaskan bahawa suasana ketidakpercayaan antara Iran dan Amerika Syarikat ketika ini amat ketara, dan sebarang dialog hanya boleh berlaku dalam keadaan saling percaya serta hormat-menghormati.
Beliau turut menekankan keperluan menghentikan serangan ketenteraan serta korban nyawa pegawai dan orang awam Iran sebagai prasyarat kepada usaha tersebut, selain menyatakan hasrat untuk melawat Tehran selepas konflik berakhir.


