PERSELISIHAN antara pekerja dua syarikat pelancongan dipercayai menjadi punca pergaduhan di hadapan sebuah kios di kawasan Jesselton Point, di Kota Kinabalu semalam.
Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan suasana di lokasi berkenaan kecoh apabila beberapa individu bertindak agresif sehingga berlaku insiden membaling kerusi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perebutan pelanggan antara pekerja dua syarikat pelancongan di kawasan berkenaan.
“Pergaduhan itu telah menyebabkan berlaku kerosakan terhadap harta benda milik pihak lain di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh pengusaha kios yang terjejas bagi tujuan keselamatan serta mengelakkan salah faham dalam kalangan orang awam.
“Setakat ini, tiada laporan dibuat oleh individu yang terlibat secara langsung dalam pergaduhan tersebut, namun rakaman video kejadian telah tular dalam media sosial,” katanya.
Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.
“Usaha mengesan serta mengenal pasti individu yang terlibat sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta sentiasa mematuhi undang-undang.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 51 saat dalam media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai terlibat dalam pergaduhan di kawasan berkenaan.
Rakaman itu menunjukkan sekumpulan lelaki bertindak agresif termasuk membaling kerusi di tepi jalan sehingga mengundang kecaman netizen di media sosial.


