BEBERAPA kawasan di dua negeri utara tanah air, Kedah dan Perlis mula menerima hujan petang ini selepas sekian lama mengalami cuaca kemarau sejak awal Februari lalu.
DI Perlis, antara kawasan yang dilaporkan menerima taburan hujan adalah di sekitar Santuari Ikan Air Tawar Tasik Timah Tasoh, Beseri, Bukit Jernih, Batu Bertangkup, Belukar Lenga, Kubang Tiga, Bukit Chabang dan Semadong.
Hujan yang turun ini bagaikan jawapan kepada doa rakyat Perlis selepas penganjuran Solat Sunat Istisqa (solat minta hujan) yang diadakan pada 26 Mac lalu.
Solat sunat berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersama lebih 1,000 jemaah.
Media sebelum ini melaporkan cuaca panas melampau dan penyusutan air di Empangan Timah Tasoh menimbulkan kebimbangan ramai, terutamanya mengenai nasib ribuan ikan air tawar di kawasan sangkar santuari di empangan berkenaan.
Di Kedah, beberapa daerah di negeri ini mula menerima hujan pada petang ini selepas dilanda cuaca panas berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.
Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, hampir semua daerah di negeri ini kecuali Langkawi dan Bandar Baharu diramalkan menerima hujan atau ribut petir petang ini.
Menurutnya, keadaan itu selari dengan fasa peralihan monsun yang lazimnya membawa hujan atau ribut petir pada sebelah petang.
“Ada beberapa kawasan dan daerah sudah terima hujan hari ini seperti jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Sehubungan itu, saya menasihatkan orang ramai peka kepada perubahan cuaca dan merujuk laman web atau media sosial Jabatan Meteorologi untuk maklumat cuaca terkini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, suhu panas di daerah Kota Setar dilaporkan mencecah tahap dua (gelombang haba) selain kawasan itu tidak menerima hujan sejak lebih sebulan lalu.


