SEORANG lelaki maut selepas motosikalnya dipercayai dirempuh seorang pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang berhampiran Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan mendapati, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta kira-kira itu berlaku kira-kira jam 11.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 20-an dari arah Jalan Raya Barat menghala ke bandar Klang dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 30an tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah.
“Suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan akan direman esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, didenda antara RM50,000 hingga RM100,000, serta lesen memandu digantung serta-merta.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun,” katanya.


