KEMENTERIAN Pertahanan Indonesia mengesahkan tentera Zionis Israel dilaporkan melancarkan serangan ke atas markas Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lebanon semalam mengakibatkan seorang anggoa tentera negara republik terkorban.
Dalam kejadian itu, anggota tersebut meninggal dunia dan mayat masih berada di Pos UNIFIL Marjayoun, selatan Lebanon.
Menurut laporan media, seorang lagi anggota TNI kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Beirut.
Kementerian Pertahanan Indonesia mengesahkan insiden tersebut. Ketua Biro Informasi Pertahanan Setjen Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Rico Ricardo Sirait memaklumkan bahawa serangan itu mengakibatkan empat anggota TNI menjadi mangsa.
“Kami mengesahkan berlakunya insiden di kawasan penugasan UNIFIL di Lebanon susulan peningkatan ketegangan keselamatan. Seorang anggota meninggal dunia, seorang lagi mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi cedera ringan dan kini sedang menerima rawatan,” katanya lapor Republika.
Beliau menjelaskan bahawa pasukan pengaman TNI menjadi mangsa dalam situasi pertempuran artileri yang sedang berlangsung di selatan Lebanon.
“Insiden berlaku ketika berlakunya saling serang artileri, dan proses pengesahan lanjut masih dijalankan oleh pihak UNIFIL. Perkembangan operasi seterusnya akan dimaklumkan oleh Markas Besar TNI,” tambahnya.


