SEORANG penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 25.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui panggilan kecemasan kira-kira jam 8.44 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 7.20 malam apabila mangsa yang memandu sebuah Perodua Axia hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan konkrit di sebelah kanan laluan.
“Mangsa seorang wanita berusia 20 tahun dan pelajar institusi pengajian tinggi awam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


