SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Jalan Pasar Awam Kampar, malam tadi, dipercayai ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
Dalam kejadian jam 10.08 malam itu, mangsa berusia 17 tahun maut di tempat kejadian akibat luka parah di kepala selepas motosikal Yamaha 135LC ditunggangnya terbabas ke dalam longkang tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa bersama empat rakan yang masing-masing menaiki motosikal sebelum itu disyaki cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis kerana tiada lesen memandu dan ubah suai motosikal.
Katanya, remaja berkenaan bersama rakan yang ternampak anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tetap melarikan diri dan berpecah haluan walaupun sudah diarah berhenti.
“Polis kemudian menyalakan lampu amaran dan mengekori mangsa dari belakang pada jarak kira-kira 150 meter, Anggota URB kemudian nampak mangsa menunggang melawan arus melalui Jalan Pasar lalu melanggar bonggol.
“Motosikalnya kemudian hilang kawalan lalu melanggar besi tangga berhampiran longkang sebelum mangsa jatuh ke dalam longkang.
“Hasil siasatan mereka melarikan diri kerana takut tindakan oleh polis disebabkan tiada lesen dan ubah suai motosikal,” katanya hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa yang berasal dari Mambang Di Awan, Kampar tiada lesen memandu, manakala motosikal ditunggangnya adalah milik bapa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


