Petronas beri jaminan terus pantau bekalan bahan api negara

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) memberi jaminan akan terus memantau dengan rapi bekalan bahan api negara bagi memastikan kestabilannya di seluruh negara, berikutan krisis Asia Barat yang kini berterusan.

Menurut kenyataan syarikat minyak dan gas utama negara itu hari ini, memandangkan tempoh dan kesan sepenuhnya perang di Iran masih tidak menentu, Petronas amat menyokong penggunaan tenaga yang lebih cekap oleh industri dan orang ramai.

Selain itu, Petronas turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pembelian panik dan penyorokan bahan api, kerana ia akan memburukkan lagi keadaan kesan daripada krisis tersebut.

Menurutnya, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, ia tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan krisis itu.

“Hampir 40 peratus daripada keperluan minyak mentah negara transit menerusi Selat Hormuz. Sejak bermulanya krisis ini, harga minyak mentah telah meningkat hampir 40 peratus.

“Ini mengakibatkan kos penghantaran global, premium insurans dan logistik berkaitan penghantaran turut meningkat dengan ketara. Kesemua perkembangan ini telah memberi kesan kepada keselamatan bekalan bahan api Malaysia,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu menjelaskan bahawa, daripada segi produk, permintaan negara terus melebihi bekalan domestik dan Petronas memanfaatkan rantaian bekalan bersepadunya, melalui anak syarikatnya untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel yang mencukupi, bagi menyokong bahagian pasarannya iaitu hampir 50 peratus, sehingga Mei 2026.

Menurut syarikat itu lagi, bakinya akan dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.

Dalam pada itu, walaupun berdepan tekanan global, Petronas berkata, kerajaan menyediakan subsidi untuk RON95 dan diesel untuk mengurangkan kesan kepada rakyat, sekali gus menjadikan harga bahan api di Malaysia kini antara yang terendah di rantau ini.

“Petronas akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menguruskan sebarang potensi gangguan dan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan tenaga ngara,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img