PASUKAN Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) melaporkan tiga anggota pengaman dari Indonesia terkorban dalam dua insiden berasingan di selatan Lubnan dalam tempoh beberapa jam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memaklumkan pada Isnin bahawa satu letupan yang “tidak diketahui puncanya” telah memusnahkan sebuah kenderaan berhampiran bandar Bani Haiyyan, mengorbankan dua anggota pengaman Indonesia. Dua lagi anggota turut cedera, seorang daripadanya dilaporkan dalam keadaan parah.
Insiden tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas seorang lagi anggota pengaman terbunuh apabila sebuah pangkalan UNIFIL terkena tembakan peluru berpandu berhampiran kampung Adchit al-Qusayr di selatan Lubnan.
Menurut pegawai PBB, kesemua mangsa yang terkorban merupakan anggota tentera Indonesia. Dalam insiden pertama, mangsa dikenali sebagai Prebet Farizal Rhomadhon.
Dalam insiden kedua pula, dua anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilaporkan terbunuh. Kedua-dua anggota tersebut, masing-masing berpangkat Mejar dan Sarjan, terkorban ketika sedang berusaha memindahkan seorang rakan yang cedera, sebelum konvoi mereka diserang oleh tentera Israel.
UNIFIL memaklumkan bahawa pihaknya telah melancarkan siasatan terhadap kedua-dua insiden berkenaan, namun setakat ini belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
PBB menegaskan bahawa sebarang serangan yang disengajakan terhadap pasukan pengaman merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, yang diluluskan pada tahun 2006 bagi membantu angkatan bersenjata Lubnan memastikan kawasan tersebut bebas daripada unsur bersenjata dan persenjataan tidak sah.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres, dalam satu kenyataan di platform X menyifatkan insiden berkenaan sebagai sebahagian daripada siri kejadian yang membahayakan keselamatan pasukan pengaman, serta menggesa supaya pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan.
Kementerian Luar Negeri Indonesia turut mengesahkan bahawa mangsa merupakan warganegara Indonesia, sambil menegaskan bahawa sebarang kehilangan melibatkan pasukan pengaman adalah tidak dapat diterima. Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono, turut mengecam serangan Israel di selatan Lubnan.
Ketika ini, lebih 8,200 anggota pengaman PBB daripada 47 negara, yang dikenali sebagai “Helmet Biru”, ditempatkan di selatan Lubnan berdasarkan data terkini UNIFIL setakat 23 Mac.


