SEORANG juruteknik yang tular dalam video Ahad lalu memandu secara berbahaya dan merempuh penunggang motosikal sehingga maut didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas dua pertuduhan iaitu membunuh dan mengambil dadah.
Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan kes bunuh dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, Klang pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Bagi pertuduhan kedua, Saktygaanapathy mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah disyaki jenis benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang pada jam 3.30 petang tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Raja Zaizul Faridah tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu untuk penyerahan dokumen bagi laporan bedah siasat, patologi dan forensik.
Majistret Karthiyayini kemudian menetapkan kes itu untuk sebutan semula pada 3 Jun depan.

Sementara itu, isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, turut hadir mengikuti prosiding tersebut di mahkamah dan mendengar ketika jurubahasa membacakan pertuduhan.
Ibu kepada tiga orang anak itu diiringi beberapa aktivis dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kira-kira jam 9.20 pagi.
Ketika ditemui media, Nor Nadia berkata, sebagai isteri mangsa, dia hanya mahu pembelaan terhadap apa yang menimpa arwah suaminya.
Dalam kejadian Ahad lalu, Allahyarham Amirul Hafiz meninggal dunia di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu tertuduh yang didakwa dipandu laju ke arah bandar Klang.
Pemandu kereta Honda City itu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki lorong bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang mangsa.
Perlanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


