POLIS memaklumkan setakat ini tiada sebarang permohonan atau pemakluman diterima berhubung penganjuran himpunan oleh Sekretariat Tangkap Azam Baki yang dijadualkan berlangsung pada 25 April depan di Dataran Merdeka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang notis rasmi daripada penganjur berhubung perhimpunan berkenaan.
Beliau dalam masa sama menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada serta tidak menyalahgunakan platform berhimpun hingga menjejaskan ketenteraman awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mengganggu keamanan atau mengancam keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Sekretariat Tangkap Azam Baki merancang untuk mengadakan satu lagi siri demonstrasi jalanan di Dataran Merdeka bagi mendesak siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi penguatkuasaan.
Wakil sekretariat, Kelvin Lee See Kiang dilaporkan berkata, himpunan itu diadakan susulan dakwaan kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap isu integriti melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.


