Penjenamaan TH mesti pelihara sensitiviti, suara hati pendeposit – Dr.Zulkifli

  KEPUTUSAN  penjenamaan semula Tabung Haji (TH) mestilah memelihara sensitiviti majoriti pendeposit dan wajar diimbangi dengan pertimbangan lain termasuk menutup jalan fitnah, menjaga maruah agama dan memastikan maslahat tidak bercanggah dengan nas syarak.

 Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata atas dasar itu, beliau  meminta semua pihak kembali kepada panduan syarak dan prinsip tadbir urus yang berteraskan integriti, demi memastikan TH kekal unggul, diyakini, dan menjadi kebanggaan negara serta dunia Islam.

Katanya, pertelingkahan yang ada wajar diselesaikan dengan baik dan dan pastinya mengutamakan suara hati majoriti pendeposit di TH.

“TH juga adalah simbol maruah umat Islam dan lambang keyakinan pendeposit. Dengan penuh keinsafan, saya melihat isu ini tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan yang berpanjangan.

“TH berdiri kerana kepercayaan lebih sembilan juta pendeposit. Kelompok rakyat marhaen hinggalah mereka yang bergengsi, menabung dengan doa suatu hari dapat ke Baitullah. Kepercayaan inilah modal terbesar TH,” katanya melalui kenyataan, hari ini

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, mendakwa di Parlimen bahawa RM20 juta wang hasil titik peluh pendeposit TH digunakan untuk penjenamaan semula, dan tiga syarikat yang sama ada dimiliki sepenuhnya atau majoriti oleh bukan Islam dan bukan Bumiputera dilantik.

Dalam kenyataannya,  Zulkifli turut mendedahkan bahawa Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) iaitu unit strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM) pernah berkunjung ke pejabatnya ketika beliau menjawat jawatan menteri bagi menawarkan bantuan bagi mengukuhkan fungsi TH.

Beliau berkata, namun, perancangan kerjasama itu tidak dapat diteruskan setelah berlakunya Covid-19 dan pertukaran kerajaan.

Zulkifli bagaimanapun berkata, melalui cadangan kerjasama awal terbabit ketika itu, ia memberi gambaran jelas bahawa pemerkasaan ekonomi Bumiputera tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan institusi Islam, dan TH ialah antara lambang terpenting kepercayaan ummah yang mesti dipertahankan dan diperkasakan.

“Semasa saya menjawat jawatan menteri, antara agensi terawal yang berkunjung ke pejabat saya dan menawarkan bantuan untuk memperkukuh fungsi TH. Saya melihat sinergi ini amat bermakna kerana TERAJU boleh membawa agenda besar pemerkasaan Bumiputera melalui lima teras utama.

“Ia adalah memperkukuh pelaburan strategik yang memberi pulangan mampan kepada pendeposit, membangunkan vendor dan usahawan Bumiputera dalam sektor logistik, makanan dan hospitaliti haji,” katanya.

Zulkifli turut melihat kerjasama TH dan TERAJU adalah bagi menyediakan sokongan strategik demi memastikan TH kekal kompetitif dengan identiti Islamik yang kukuh, melahirkan lebih ramai teknokrat serta profesional dalam bidang kewangan Islam dan pengurusan risiko melalui pembangunan modal insan, serta menyelaraskan dasar supaya naratif ekonomi Bumiputera selari dengan maqasid syariah.

Beliau turut mengambil contoh sejarah Uthmaniyyah memperlihatkan bagaimana tenaga bukan Muslim daripada Eropah seperti Perancis, Hungary, dan Itali digunakan dalam bidang teknikal seperti pembuatan senjata, perkapalan dan pembangunan.

Namun, semua itu katanya, berada di bawah kawalan ketat wazir, janissari dan birokrasi Muslim.

“Pembabitan mereka meluas namun terhad kepada perkara selain dasar dan imej Khilafah Uthmaniyyah. Jurutera asing membina meriam hanya mengikut arahan komander, percetakan huruf Arab pula hanya dibenarkan dengan fatwa Şeyhülislām, dan seni bina masjid kekal dipelopori arkitek Muslim seperti Mimar Sinan.

“Ini membuktikan bahawa kerjasama teknikal dibenarkan, tetapi urusan identiti dan imej agama tetap dipelihara oleh Muslim sendiri,” katanya.

Zulkifli berkata, dalam sistem pentadbiran Islam, kuasa tafwīḍ (delegasi dasar) hanya diberi kepada Muslim kerana membabitkan syiar dan arah pentadbiran, manakala kuasa tanfīdh (pelaksanaan teknikal) lebih terbuka untuk kerjasama, termasuk dengan bukan Muslim.

“Ini menunjukkan Islam meraikan kepakaran luar dalam hal teknikal, tetapi menjaga identiti dan dasar agama di tangan umat Islam,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img