PENUBUHAN Pusat Arahan Komunikasi telah dipersetujui Jemaah Menteri bagi menyelaras respons kerajaan terhadap krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pusat yang dikenali sebagai Communications Command Centre itu akan beroperasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
“Satu sesi taklimat atau sidang media akan diadakan setiap hari sekitar jam 4 petang dan jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Tujuannya adalah untuk menyelaraskan aspek komunikasi kerajaan, khususnya berkaitan respons dan langkah-langakh yang diambil oleh kerajaan serta agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media mingguan di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur hari ini.
Tambah beliau, penubuhan pusat ini penting dalam menghadapi cabaran semasa termasuk krisis tenaga global dan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Dalam perkembangan sama, Jemaah Menteri turut memutuskan agar Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menghadiri mesyuarat bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Kewangan dan Ekonomi.
Menurut Fahmi, pertemuan itu bertujuan membentangkan pandangan serta langkah-langkah yang telah dirangka kerajaan dalam menangani kesan ekonomi susulan perkembangan di Asia Barat dan krisis tenaga global.


