PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan langkah penyelarasan keutamaan perbelanjaan mengurus bagi setiap kementerian mula menunjukkan hasil positif tanpa menjejaskan pelaksanaan program dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keutamaan ketika ini terus diberikan kepada pengukuhan perkhidmatan barisan hadapan khususnya dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan.
“Keutamaan terus diberi kepada pengukuhan perkhidmatan barisan hadapan khususnya dalam sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri turut memaklumkan sasaran penjimatan serta penyelarasan keutamaan perbelanjaan kerajaan kini telah mencapai hampir 50 peratus daripada sasaran keseluruhan yang ditetapkan.
Tambah Fahmi, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap penganjuran sambutan Hari Belia, Hari Guru dan pelbagai acara rasmi kerajaan yang kini dilaksanakan secara lebih sederhana.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah dan berfokus selaras dengan keutamaan semasa negara.
“Pendekatan kesederhanaan ini penting dalam memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah dan berfokus selaras dengan usaha mengutamakan kebajikan rakyat serta keperluan semasa negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Jemaah Menteri turut mengambil maklum berhubung inisiatif Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) melaksanakan kaji selidik bagi mengenal pasti cabaran serta isu dihadapi pelbagai sektor industri dalam kalangan ahlinya.
Fahmi berkata, dapatan kaji selidik itu akan membantu kerajaan merangka serta menyelaras pelbagai inisiatif secara lebih strategik, berfokus dan berkesan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan isu dan permasalahan industri dapat ditangani secara menyeluruh, tuntas serta mampan.


