POLIS sedang mengesan enam sekeluarga yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah mereka di Taman Orkid, Bentong sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.34 malam kelmarin (30 Mac) lalu.
Menurutnya, pengadu berusia 43 tahun yang juga suami serta bapa kepada keluarga terbabit memaklumkan isterinya, M Rekha, 41, bersama lima anak mereka tidak berada di rumah.
“Pengadu mendapati pada 30 Mac lalu kira-kira jam 6.30 pagi, semua ahli keluarganya tiada di rumah.
“Alamat dan lokasi terakhir yang diketahui adalah di Nombor 120, Lorong 6, Taman Orkid, Bentong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zaiham, lima anak pasangan itu ialah S Ruban, 19; S Sharivina Nair, 17; S Shasini Nair, 16; S Pritivi Nair, 14; dan S Lashwin Nair, 4.
Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan dan usaha mengesan semua individu terbabit.
Terbaharu, Zaiham ketika dihubungi memberitahu, pihaknya dimaklumkan salah seorang daripada ahli keluarga itu dipercayai telah menghubungi pegawai polis namun beliau belum dapat membuat pengesahan setakat ini.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan enam sekeluarga berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-223 1999.
“Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


