PASUKAN Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) malam ini mengumumkan bahawa situasi di Selat Hormuz kini berada di bawah kawalan penuh dan tegas oleh angkatan laut Iran.
Menurut kenyataan rasmi IRGC, analisis dan laporan saksi menunjukkan bahawa intensiti serangan peluru berpandu Iran ke kawasan tengah Israel dan pelbagai bahagian Timur Tengah sejak awal pagi hari ini adalah bertentangan dengan dakwaan Tel Aviv dan Washington bahawa serangan tersebut telah berkurangan sebanyak 90 peratus, naratif yang didakwa kerap disebarkan oleh pegawai AS dan Zionis.
IRGC memaklumkan bahawa sejak fajar 1 April, angkatan lautnya telah melaksanakan lima operasi berskala besarvdalam gelombang ke-89 Operasi Janji Sejati 4, menggunakan gabungan peluru berpandu balistik Qadeer, peluru berpandu jelajah, dan dron dalam serangan untuk memusnahkan sasaran ketenteraan penting milik pasukan AS dan Israel.
Dalam serangan pertama, dua sistem radar pertahanan awal yang digunakan oleh pasukan AS dan ditempatkan di struktur maritim di perairan dan pulau-pulau Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya dimusnahkan dengan tepat.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa sebuah tanker minyak milik “rejim Zionis yang tidak sah”, dikenal pasti sebagai “Aqua 1”, disasarkan secara tepat di Teluk Parsi tengah dan dilaporkan terbakar selepas serangan peluru berpandu.
Selain itu, sebuah tapak berkumpul tersembunyi pasukan AS di luar perimeter Armada Kelima AS di Bahrain. diserang dengan sejumlah besar dron serangan dan beberapa peluru berpandu balistik. Laporan lapangan menunjukkan ramai pegawai kanan tentera laut telah dipindahkan ke hospital di Manama selepas serangan tersebut.
Pusat penyediaan helikopter Chinook dan hangar penyimpanan peralatan di Pangkalan Al-Udeiri turut disasarkan menggunakan gabungan peluru berpandu dan dron.
IRGC juga melaporkan bahawa beberapa gelombang dron serangan telah dilancarkan ke arah kumpulan kapal induk USS Abraham Lincoln di Lautan Hindi utara, dan berdasarkan imej satelit serta dokumentasi, kumpulan tersebut telah menarik diri ke kedudukan lebih dalam di laut.
Menurut sumber risikan IRGC, serangan awal terhadap tapak berkumpul pegawai AS di UAE telah mengakibatkan kematian 37 individu dan ramai yang cedera dipindahkan ke hospital.
Kenyataan itu menekankan bahawa Selat Hormuz tetap di bawah kawalan penuh angkatan laut Iran, dan menegaskan laluan air strategik itu tidak akan dibuka semula di bawah “gestur teater” Presiden AS terhadap rakyat Iran.


