Empat kelab gergasi Arab Saudi bakal dijual termasuk kelab Ronaldo

EMPAT  kelab bola sepak gergasi Arab Saudi, termasuk kelab disertai Cristiano Ronaldo, Al-Nassr dilaporkan bakal dijual oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) negara itu sebagai satu langkah strategik ke arah penswastaan dan pengurusan kewangan yang lebih mampan.

Berdasarkan laporan disiarkan wartawan sukan Arab Saudi, Ahmed Al-Ajlan, kelab-kelab utama Liga Pro Saudi iaitu Al-Nassr, Al-Hilal, Al-Ahli dan Al-Ittihad sedang dalam proses untuk dijual sepenuhnya kepada pelabur swasta, termasuk bahagian saham 25 peratus yang sebelum ini dimiliki Kementerian Sukan Arab Saudi.

Penjualan ini menandakan perubahan drastik dalam pendekatan pelaburan negara terhadap bola sepak, selepas beberapa musim melabur secara besar-besaran untuk membawa masuk pemain bintang dunia sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memacu Visi 2030.

Difahamkan, antara kelab yang mendapat perhatian tertinggi ialah Al-Hilal, dengan ahli perniagaan terkenal dan kerabat diraja, Putera Al Waleed Talal, dikatakan sebagai calon utama untuk mengambil alih kelab berkenaan.

Putera Al Waleed dijangka bersaing dengan bekas pemilik kelab Liga Perdana Inggeris, Sheffield United, Putera Abdullah Mosaad dalam pembelian Al-Hilal yang memenangi pelbagai kejuaraan domestik dan Asia.

Potensi penjualan empat kelab besar Arab Saudi ini muncul selepas kerajaan secara terbuka mengumumkan rancangan tahun lalu untuk meneruskan pelaburan dan mendapatkan penswastaan.

Bulan lalu, Kementerian Sukan mengesahkan penswastaan ​​tiga kelab dengan Al-Kholood menjadi yang pertama dibuka kepada pelabur asing.

Al-Kholood dijual kepada Kumpulan Harburg, yang diketuai pelabur Amerika Syarikat (AS), Ben Harburg.

Syarikat dari AS itu menjenamakan semula lambang kelab itu dan mengesahkan pelantikan bekas pengurus Oxford United, Des Buckingham sebagai pengendali baharu mereka.

Al-Zulfi dan Al-Ansar pula dijual kepada entiti Arab Saudi.

Pada Rabu lalu, Kementerian Sukan mengumumkan bahawa dua lagi kelab Liga Pro, Al-Najma dan Al-Okhdood kini dibuka untuk pelaburan dan penyertaan pihak swasta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img