PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, termasuk empat wanita, dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan transit di Chabang Empat, Tumpat, Jumaat lalu.
Serbuan dijalankan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan hasil risikan yang membawa kepada penemuan semua suspek berusia antara 19 hingga 36 tahun di ruang tamu rumah berkenaan tanpa sebarang dokumen perjalanan sah.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain, berkata siasatan awal mendapati kesemua PATI itu dipercayai memasuki negara ini melalui rangkaian penyeludupan manusia yang mengatur perjalanan dari Myanmar ke Thailand sebelum dibawa masuk ke Malaysia menggunakan laluan sungai secara haram.
“Setiap individu dipercayai membayar kira-kira RM8,000 kepada ejen dengan tujuan untuk bekerja sebagai buruh binaan di negara ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, semua tahanan kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam perkembangan berasingan, PGA turut menahan dua remaja warga Thailand berusia 16 dan 17 tahun di kawasan pangkalan haram Miji, Kampung Kedap, Rantau Panjang, pada hari sama.
Ahmad Radzi berkata, kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah selain tidak mempunyai cap kemasukan ke Malaysia.
“Hasil soal siasat mendapati mereka mengaku telah bekerja sebagai tukang masak di sebuah premis makanan di Pasir Gudang, Johor sejak awal tahun 2024,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua remaja itu dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti sebelum diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.


