Cubaan lari gagal, tekong darat dan 9 PATI dicekup

Cubaan seorang tekong darat meloloskan diri daripada pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) berakhir apabila kereta dipandunya merempuh kenderaan milik penduduk kampung sebelum dia dan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas di Kampung Tok Malik, Tumpat, pagi tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki tempatan berusia 21 tahun itu ditahan ketika anggota menjalankan rondaan Op Taring Wawasan di Wakaf Bharu.

Menurutnya, anggota PGA mengesan sebuah Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit enggan mematuhi arahan dan bertindak memecut melarikan diri menyebabkan anggota PGA mengejarnya.

“Dalam kejadian itu, kenderaan suspek merempuh sebuah kereta milik penduduk kampung sebelum anggota berjaya menahan pemandu serta sembilan penumpang di dalam kereta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kesemua penumpang lelaki berusia antara 21 hingga 55 tahun itu adalah warga Bangladesh yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka dipercayai memasuki negara ini melalui Pulau Besar sebelum bergerak ke Kota Bharu dan merancang meneruskan perjalanan dari Terminal Bas Lembah Sireh untuk mencari pekerjaan di Malaysia selepas menamatkan kontrak kerja di Kemboja.

“Suspek dipercayai menerima bayaran RM100 bagi setiap migran untuk membawa mereka dari Tumpat ke Kota Bharu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pemandu dan kesemua migran terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img