MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian wartawan penyiaran legenda, Datuk Karam Singh Walia, yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Beliau berkata, pemergian mendiang memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada dunia kewartawanan, malah kepada rakyat Malaysia yang mengenali tokoh itu melalui laporan berita yang berinformasi dan penuh dedikasi.
“Sesiapa sahaja yang menonton Buletin TV3, khususnya dari era 1990-an hingga sekitar 2014, pasti cukup mengenali penampilan beliau yang sinonim dengan pantun yang mengakhiri setiap laporan, satu identiti unik yang kekal di ingatan ramai.
“Saya juga antara yang setia mengikuti laporan beliau dan amat menghargai dedikasi serta sumbangannya kepada dunia penyiaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Fahmi turut merakamkan takziah kepada keluarga mendiang termasuk Pengarang Urusan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Jasbant Singh.
Beliau menegaskan, sumbangan Karam Singh Walia dalam memperkasa bidang penyiaran serta laporan alam sekitar akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi wartawan akan datang.


