KES saman fitnah yang difailkan Datuk Fahmi Fadzil terhadap seorang pemilik akaun Facebook pada 2023 berkaitan dakwaan kononnya Menteri Komunikasi itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Peguam Fahri Azzat yang mewakili Fahmi memaklumkan kepada Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian dan telah bersetuju dengan penghakiman persetujuan.
Perkara berkenaan disahkan oleh peguam Mohammed Zamri Ibrahim yang mewakili pemilik akaun Facebook `N13 Kuang’, Mohd Fauzan Madzlan selaku defendan.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin kemudian merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes saman itu.
Dalam sidang media selepas itu, peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang turut mewakili Fahmi berkata, dalam perintah penghakiman persetujuan itu, dua perkara telah dipersetujui.
“Defendan berasa kesal di atas hantaran Facebook bertarikh 31 Julai 2023 yang mengulas isu tersebut, yang menjadi subjek kepada kes hari ini. Jadi dua perkara utama iaitu pertama defendan mengakui bahawa ucapan YB Fahmi bukan kempen politik dan bukan ucapan berbaur politik.
“Kedua, defendan berasa kesal terhadap sebarang salah faham yang timbul akibat kenyataan yang dikeluarkan di Facebook `N13 Kuang’ yang menjadi subjek kes ini.
“Defendan juga dengan seikhlas hati menyatakan bahawa ucapan Fahmi pada 30 Julai 2023 di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor semasa tempoh Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15 bukan satu kempen politik ataupun ucapan berbaur politik,” kata peguam itu.
Sementara itu, Fahmi ketika ditemui media menghargai pengakuan Mohd Fauzan serta persetujuan untuk kedua-dua pihak menyelesaikan dengan cara baik.
“Pengesahan beliau (Mohd Fauzan) itu amat saya hargai dan saya tunggu bersama dengan pasukan peguam sama ada dua kes seterusnya akan diteruskan atau tidak,” katanya.
Selain Mohd Fauzan, Fahmi juga menfailkan saman terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani serta Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo berhubung isu sama.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 5 September 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.
Beliau berkata, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.


