Pekerja sukan di UPSI ditemukan meninggal dunia dalam stor sukan terkunci

SEORANG lelaki berusia 53 tahun ditemukan meninggal dunia dipercayai terperangkap dalam sebuah stor fasiliti sukan yang berkunci di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.

Radzi Ariffin merupakan pekerja swasta di syarikat pengurusan sukan boling di universiti awam itu ditemukan dalam stor peralatan pembersihan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.57 pagi daripada polis bagi mendapatkan bantuan untuk membuka pintu stor yang berkunci.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim digerakkan ke lokasi kira-kira 9 kilometer dan tiba pada jam 2.07 pagi.

“Setibanya di lokasi, pintu stor telah pun dibuka oleh polis bantuan UPSI. Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemantauan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kakitangan berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mayatnya diserahkan kepada pihak polis. Operasi dikawal pada jam 2.17 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.36 pagi,” katanya.

Seramai sembilan anggota terbabit dalam operasi berkenaan, bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).

Sementara itu, Facebook Naib Canselor UPSI dalam kenyataannya memaklumkan, lelaki terbabit, Radzi Ariffin merupakan pekerja syarikat swasta Sports Bowling yang beroperasi di dalam UPSI.

“Beliau disyaki mengalami serangan jantung dan ketika ini bedah siasat sedang dijalankan di Hospital Slim River.

“Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bernam dan pihak syarikat akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak pengurusan UPSI sentiasa memantau perkara ini dan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img