Malaysia perlu memperkukuh infrastruktur digital, bakat serta kepercayaan bagi memastikan transformasi kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup sesi “AI-First Enterprises: Driving Innovation and Business Transformation” pada M360 ASEAN 2026 di Grand Hyatt Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata AI kini bukan lagi sekadar teknologi yang digunakan perusahaan, sebaliknya menjadi keupayaan asas yang menentukan daya saing, inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
Menurutnya, Malaysia perlu menyediakan ekosistem yang membolehkan syarikat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula membangunkan dan mengembangkan penyelesaian AI, bukan sekadar menjadi pengguna teknologi itu.
Teo berkata liputan internet di kawasan berpenduduk negara telah mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai 2026, manakala pelaksanaan 5G dan kabel dasar laut SALAM meningkatkan kapasiti serta daya tahan rangkaian.
Beliau turut menegaskan transformasi AI mesti berteraskan manusia melalui usaha reskilling dan upskilling, supaya pekerja, PKS dan komuniti tidak tercicir.
Katanya, 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini menyediakan akses kemahiran digital, perkhidmatan dan peluang keusahawanan kepada lebih dua juta komuniti.
Dalam aspek keselamatan, Teo berkata privasi, keselamatan siber, ketelusan dan akauntabiliti perlu bergerak seiring perkembangan AI.
Antara 1 Januari 2025 hingga 31 Ogos 2026, MCMC membuat 1,000,696 permintaan penurunan kandungan kepada platform dalam talian, dengan kadar pematuhan 93 peratus.
Teo berkata Malaysia menyasarkan menjadi Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030 menerusi National AI Action Plan 2026-2030, yang merangkumi 28 inisiatif nasional.
Beliau berkata aspirasi itu turut berkait rapat dengan agenda ASEAN, yang ekonomi digitalnya berpotensi mencapai AS$2 trilion menjelang 2030 melalui pelaksanaan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA).
“Persoalannya bukan lagi sama ada AI akan mengubah ekonomi kita. Ia akan berlaku. Persoalan lebih penting ialah jenis transformasi yang kita mahu wujudkan,” katanya.





