SEORANG lelaki cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua lori kontena di Kilometer 302.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gopeng, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 46 tahun tersepit di dalam Ford Ranger selepas kenderaan dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng serta Tapah dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 4.28 pagi, didapati sebuah Ford Ranger merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena yang terlebih dahulu melanggar sebuah lagi lori kontena di hadapannya.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Ford Ranger tersepit dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, dua lagi mangsa yang menaiki lori kontena hanya mengalami kecederaan ringan.
“Pihak bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas cutter and spreader bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi melibatkan 16 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah EMRS berjaya dikawal pada pukul 4.45 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.20 pagi.


