SEBUAH kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Ford Ranger yang dipandu lelaki warga Ghana disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka selepas didapati tidak mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah dalam Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026, kelmarin.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan ketika memandu bersama dua rakan senegaranya selepas kenderaan berkenaan dikesan menggunakan lorong kecemasan di Kilometer 182 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Jasin.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, kenderaan terbabit ditahan ketika operasi dijalankan dari Plaza Tol Tangkak, Johor hingga Plaza Tol Pedas, Negeri Sembilan.
Menurutnya, pemandu berkenaan mengemukakan pasport Ghana serta lesen memandu antarabangsa yang dikeluarkan Persekutuan Automobil Antarabangsa ketika pemeriksaan dijalankan.
“Semakan lanjut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi Ford Ranger itu telah tamat tempoh sejak 12 Ogos tahun lalu selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
“Pemandu itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah untuk memandu di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, lelaki terbabit mendakwa tidak mengetahui status cukai jalan dan insurans kenderaan berkenaan kerana ia milik rakannya yang kini berada di Amerika Syarikat.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mereka yang bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur ketika ditahan.
“Susulan pelbagai kesalahan yang dikesan, JPJ mengeluarkan notis saman P22 dan menyita kenderaan tersebut mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Siti Zarina berkata, tiga motosikal yang ditunggang warga asing turut disita dalam operasi berasingan di sekitar negeri ini kerana penunggangnya tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Katanya, seorang lelaki warga China berusia 50 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Ego Gear 125 ditahan di Jalan Melaka Sentral pada jam 5.45 petang.
“Dua lagi penunggang masing-masing warga Indonesia dan Bangladesh berusia 34 serta 42 tahun yang menunggang Honda Beat dan Honda Dash ditahan di Jalan Panglima Awang kira-kira jam 5.50 petang.
“Semua kenderaan terbabit disita dan dibawa ke Depoh Sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.


