‘Port’ rempit digempur, 77 saman dikeluarkan

SEKUMPULAN remaja bermotosikal yang menjadikan kawasan Sungai Batu Pahat, Kangar sebagai ‘port’ berkumpul menerima padah selepas lokasi itu digempur polis dalam operasi khas petang semalam.

Dalam operasi bermula pukul 6 petang itu, polis mengeluarkan sebanyak 77 saman atas pelbagai kesalahan trafik selain menyita 11 motosikal yang dipercayai diubah suai.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kira-kira 50 individu dipercayai sering menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi tumpuan sehingga menimbulkan keresahan penduduk setempat.

Menurut beliau, antara yang dikenakan tindakan ialah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang masih bersekolah.

“Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kangar bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis yang diketuai Superintenden Zamri Shariff.

“Hasil pemeriksaan sehingga pukul 8 malam, sebanyak 38 motosikal diperiksa dan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, operasi itu bukan sahaja bertujuan penguatkuasaan, malah sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kawasan tersebut dijadikan lokasi aktiviti rempit atau perlumbaan haram.

“Polis memandang serius perkara ini kerana aktiviti berkumpul boleh menjadi pencetus perlakuan berbahaya yang mengancam keselamatan penunggang sendiri, pengguna jalan raya lain dan ketenteraman awam,” katanya.

Menurutnya, kesemua motosikal yang disita dibawa ke Bahagian Trafik Kangar untuk pemeriksaan lanjut dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img