SEBUAH beg mengandungi dadah disyaki kokain bernilai RM7.3 juta yang ditemukan di Pantai Tanjung Gosong, Kuantan pada 31 Mac lalu dipercayai hanyut di laut terbuka lebih seminggu sebelum terdampar di pesisir pantai.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, keadaan beg yang dipenuhi teritip menunjukkan ia telah lama terdedah kepada air laut sebelum ditemukan.
Menurut beliau, siasatan mendapati beg berkenaan mengandungi 14 bungkusan mampat berwarna hitam dengan sebahagiannya telah larut akibat terkena air laut.
“Siasatan mendapati beg itu dipercayai terapung di laut lebih seminggu sebelum terdampar di pantai dan ditemui dalam tempoh kurang 48 jam selepas berada di kawasan tersebut.
“Kita masih belum mengenal pasti asal-usulnya atau bagaimana beg itu boleh berada di laut,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, setakat ini polis telah merakam keterangan seorang individu bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Azhar Ahmad di talian 09-4221222 atau hotline narkotik 012-2087222.
Pada 1 April lalu, media melaporkan lebih 16 kilogram kokain ditemukan dalam sebuah beg mencurigakan pada pukul 2.45 petang di kawasan pantai berkenaan.
Dadah itu mengandungi 14 bungkusan berlabel ‘stone’ dan dianggarkan boleh menjejaskan lebih 81,000 penagih.


