SEORANG penjaga di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki.
Tertuduh, Retna Velu, 25, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamarudin dan Hakim Ho Kwong Chin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal selain persetubuhan luar tabii terhadap lima mangsa lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves antara hujung November 2025 hingga 27 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b), 15(a)(i), 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Mei depan bagi fakta kes serta hukuman.
Dalam prosiding sama, pengasas rumah kebajikan terbabit, S. Valan, 31, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun ketika kejadian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama antara 18 Mac 2019 hingga Ogos 2025.
Mahkamah membenarkan Valan diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menjadi mangsa liwat di rumah kebajikan berkenaan sejak dua tahun lalu, dengan lebih 20 penghuni dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual.


