DUA sahabat baik ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai membawa 260,000 batang rokok seludup bernilai hampir RM470,000 dalam serbuan di Pasir Puteh, semalam.
Kedua-dua lelaki tempatan berusia 26 dan 31 tahun itu diberkas menerusi Op Taring Wawasan Kelantan selepas pasukan PGA Batalion 9 menahan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 7 pagi.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan 26 kotak besar berisi rokok putih tidak bercukai.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai runner dan mengaku menerima bayaran RM200 bagi setiap perjalanan.
“Rokok seludup itu dipercayai diperoleh daripada pembekal di Kota Bharu sebelum diedarkan secara berperingkat mengikut permintaan pasaran,” katanya.
Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan termasuk di Terengganu.
“Turut disita dalam operasi itu ialah dua kenderaan iaitu Perodua Alza dan Proton Exora, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM508,000,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.


