SINDIKET penyeludupan dadah di sempadan Malaysia-Thailand dikesan semakin berani menggunakan laluan alternatif di kawasan kampung yang sunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, laluan kecil yang jarang digunakan pengguna jalan raya kini menjadi pilihan sindiket berdasarkan beberapa kes yang direkodkan sepanjang tahun ini.
Menurutnya, antara laluan yang dikenal pasti aktif digunakan adalah di Kampung Padang Licin.
“Pihak kami berjaya membuat 11 tangkapan dari tiga kes yang direkodkan di sekatan pintas Serongga berdekatan kampung itu sejak awal tahun ini.
“Nilai rampasan dadah dianggarkan bernilai RM600,000. Kita mengesyaki laluan ini digunakan secara aktif oleh sindiket sebagai laluan alternatif dan kini berada di bawah pemantauan 24 jam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 123 individu termasuk empat wanita ditahan bersama rampasan dadah dianggarkan bernilai RM6.1 juta menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di sepanjang sempadan negara.
Katanya, sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 135 kes dadah direkodkan dengan penahanan 119 lelaki dan empat wanita.
“Dalam tempoh sama, dadah bernilai kira-kira RM6.1 juta dirampas bersama 23 kenderaan dianggarkan bernilai RM770,000 serta pelbagai barangan lain termasuk beg tangan dan telefon bimbit bernilai RM8,400.
“Kita percaya semua yang ditahan terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah, malah sebahagian daripada mereka dipercayai ahli sindiket yang beroperasi di kawasan sempadan,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 317 kes direkodkan dengan penahanan 228 lelaki dan 25 wanita.
“Dadah bernilai hampir RM6 juta dirampas selain 50 kenderaan serta barangan lain dianggarkan bernilai RM1.7 juta,” katanya.
Menurutnya, antara jenis dadah yang kerap dirampas termasuk syabu, ganja dan tunas ganja.


