PASUKAN Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya mematahkan cubaan menyeludup migran menerusi Op Taring Nyah 1 dengan penahanan 335 warga asing di pesisir perairan Selangor dan Johor sejak Januari lalu.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi berterusan itu dilaksanakan bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, pihaknya melaksanakan 38 serbuan yang membawa kepada 55 kes berkaitan penyeludupan migran.
“Hasil operasi itu, seramai 335 warga asing berjaya ditahan membabitkan 237 lelaki, 96 wanita dan dua kanak-kanak.
“Turut ditahan 37 individu disyaki tekong darat terdiri daripada lima lelaki warga tempatan, 29 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas 20 kenderaan pelbagai jenis, tiga bot dan 57 telefon bimbit selain lain-lain barangan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.6 juta.
Katanya, semua tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Dalam perkembangan sama, Hakemal berkata Briged Tengah PGA turut melaksanakan 159 operasi penguatkuasaan lain sepanjang tempoh sama termasuk Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Charlie, Op Taring Delta, Op Hazard, Op Mitra, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), Op Palma serta operasi intra dan inter agensi.
“Hasil semua operasi itu, seramai 551 individu berjaya ditahan dengan pelbagai rampasan membabitkan nilai keseluruhan RM242 juta.
“Pihak polis menerusi PGA khususnya akan terus menjalankan tugas bagi menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab,” katanya.


