KKM beri jaminan bekalan ubat mencukupi sehingga Jun

KERAJAAN memberi jaminan bekalan ubat di negara ini masih mencukupi dan berada dalam keadaan stabil sehingga penghujung Jun walaupun berlaku konflik di Asia Barat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan pemantauan semasa, stok ubat juga pada tahap mencukupi, malah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan langkah mitigasi bagi memastikan kelangsungan bekalan.

Beliau berkata, sekiranya konflik di Asia Barat berterusan pihaknya akan menggunakan beberapa langkah mitigasi sama ada jangka pertengahan dan jangka panjang.

Tambahnya, rakyat dinasihatkan agar tidak panik kerana kerajaan mempunyai pelbagai cara dan sentiasa mengadakan libat urus dengan industri untuk mengetahui jumlah bekalan.

“Matlamat kita memastikan ubat-ubatan penting seperti insulin, vaksin dan keperluan kritikal lain sentiasa mencukupi.

“Kita juga menggunakan perkongsian data antara sektor awam dan swasta bagi memastikan tiada gangguan bekalan atau kekurangan ubat kritikal di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 peringkat kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Dr Zulkefly berkata, pihaknya sedang memantau situasi kenaikan harga ubat dan peranti kesihatan sehingga 40 peratus susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.

Jelas beliau, peningkatan itu dipercayai berpunca kos logistik dan rantaian bekalan di pasaran ketika ini.

“Pastinya harga ubat sudah pun mula meningkat. Ini terkait dengan isu logistik, pengangkutan, harga minyak dan bahan mentah.

“Kita dapati kenaikan harga ubat-ubatan berlaku sekitar 30 peratus hingga 40 peratus dan bagi peranti perubatan, ada yang meningkat lebih tinggi, malah ada yang mencapai 100 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan kos berlaku sejak sebelum Mac lagi apabila pihak industri mula meletakkan penangguhan.

“Itu yang menyebabkan harga itu sudah pun meningkat lebih awal lagi, ada 50 peratus peningkatan dan ada yang 100 peratus peningkatan,” katanya.

Justeru, Dr Zulkefly berkata, KKM sedang meneliti beberapa pendekatan termasuk mekanisme surcaj dan pemindahan kos bagi memastikan sistem kesihatan kekal mampan.

Katanya, perbincangan sedang dilaksanakan bersama kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

“Setakat ini belum ada laporan rakyat terkesan secara drastik dan kami sentiasa memantau keadaan,” tambah beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img