DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, negara kini berada pada titik penting untuk beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada pembangunan Bandar Kecerdasan Buatan (AI) sebagai asas kepada aspirasi Malaysia menjadi sebuah Negara AI.
Perdana Menteri berkata, perkara itu ditegaskan beliau semasa mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti dan menyelaraskan pelaksanaan model Bandar AI untuk Malaysia di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, pagi ini.

Menurut beliau, peralihan itu bukan sekadar penerapan teknologi baharu sebaliknya menuntut transformasi menyeluruh dalam cara merancang, mentadbir dan mengurus bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data.
“Usaha ini memerlukan ekosistem yang kukuh, merangkumi tadbir urus AI dan data yang selamat, infrastruktur digital berkapasiti tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan yang menyokong inovasi secara bertanggungjawab.
“Mesyuarat turut bersetuju agar Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama dengan kerjasama rapat kementerian dan agensi berkaitan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.
Anwar memberitahu, kerajaan juga akan terus memperkukuh sinergi berkenaan bagi memastikan pelaksanaan berkesan dan berimpak tinggi demi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Negara AI yang berdaya saing di peringkat global.
Sebelum ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo memaklumkan, Malaysia kini giat melaksanakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan bagi mencapai aspirasi menjadi Negara AI menjelang 2030.
Menurut beliau, tahun 2026 akan menjadi detik penting dalam usaha mencapai aspirasi itu dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur serta pelaburan mampan.


