SEORANG nelayan ditemui selamat manakala dua lagi masih hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan kira-kira 33 batu nautika di timur laut Kuala Kemaman, awal pagi kelmarin.
Mangsa yang ditemui selamat dikenal pasti sebagai kru bot, Mahadi Jusoh, 51. Manakala dua yang masih hilang iaitu tekong, Azan Muda, 68; dan Nordin Mohammad, 61.
Berdasarkan kronologi kejadian, bot berkenaan keluar ke laut pada pagi Selasa, sebelum dipercayai karam kira-kira jam 12.30 tengah malam, lapor Buletin TV3.
Pihak berkuasa menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6 petang tadi daripada anak kepada salah seorang mangsa yang selamat.
Susulan itu, aset Bot Penggalang 16 diatur gerak bagi melaksanakan pencarian awal di lokasi kejadian, setengah jam kemudian.
Bagaimanapun, sehingga jam 8.50 malam tadi, operasi tidak menemui sebarang petunjuk baharu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 9 malam tadi dan dijadual disambung semula seawal jam 7 pagi esok.
Difahamkan, mangsa yang ditemui selamat ditemukan oleh sebuah vesel tempatan sebelum dibawa ke Jeti LKIM Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang untuk tindakan lanjut.






