POLIS menumpaskan sindiket pengedaran daun ketum selepas menahan dua lelaki tempatan bersama 53 bungkusan plastik bahan tersebut di hentian rehat Lebuhraya Elite, di Subang Jaya kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota Unit Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 34 dan 38 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah kereta Proton Waja kira-kira jam 6.45 petang.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan sebanyak 53 plastik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 455,000 gram yang diletakkan di ruang tempat duduk belakang.
“Nilai rampasan dianggarkan RM18,500 dan dipercayai untuk diedarkan ke selatan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai empat rekod lampau.
“Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula 10 April hingga 13 April ini bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


