SEORANG penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah kereta yang ditinggalkan di lorong kecemasan di Kilometer 12.5 Lebuhraya Elite arah utara, di Subang Jaya awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi membabitkan dua buah kenderaan.
“Kejadian berlaku melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Ninja yang sedang bergerak lurus telah terlanggar bahagian belakang sebuah motokar jenis Mazda RX-8 yang diletak dan ditinggalkan di lorong kecemasan dipercayai mengalami kerosakan.
“Penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, polis sedang mengesan pemandu kereta Mazda RX-8 yang dipercayai meninggalkan kenderaan berkenaan di lorong kecemasan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tentang pemilik atau pemandu yang meninggalkan kereta terbabit di lorong kecemasan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-464 2222,” katanya.


