DUA lelaki melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) jenis Ford Ranger sebaik sahaja selesai memandu uji kenderaan itu dari sebuah lokasi di Gemencheh, Tampin petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang kelmarin, kedua-dua suspek dikatakan datang ke tempat mangsa di Gemencheh selepas melihat iklan dalam laman sosial.
“Kira-kira jam 8.45 malam tadi, polis menerima satu laporan berkaitan kehilangan 4X4 jenis Ford Ranger yang dipandu uji bagi proses jual beli di Gemencheh.
“Dalam kejadian ini, suspek dikatakan menghubungi pengadu dan menyatakan ingin bertemu untuk pandu uji kerana ingin membeli 4X4 yang diiklankan pengadu melalui Facebook.
“Suspek bersama rakannya dipercayai datang ke tempat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun untuk memandu uji kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amiruddien berkata, selepas selesai proses pandu uji, pengadu dikatakan turun dari kenderaan itu sebelum suspek bertindak memecut dengan laju dan melarikan kenderaan terbabit.
“Butir-butir kenderaan yang dilarikan adalah jenis Ford Ranger 2.0L (Raptor) bernombor pendaftaran VEP 8787 dan berwarna hitam. Anggaran kerugian dialami RM100,000.
“Suspek dua lelaki yang menaiki kereta jenis Mini Cooper Cross berwarna gelap dengan nombor pendaftaran VLQ 1366. Hasil semakan mendapati nombor berkenaan adalah palsu,” katanya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini mohon tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian hotline 06-443 1999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Menerusi video yang dimuat naik dalam laman Threads, kenderaan yang dilarikan juga dikatakan merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika memecut melarikan diri sehingga MPV itu berpusing-pusing dan terbabas ke bahu jalan.


