Cubaan sindiket seleweng diesel subsidi guna lori ubah suai tumpas

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menahan sebuah lori lima tan yang diubah suai dengan tangki khas dan mampu mengisi sehingga 4,500 liter diesel untuk menyeleweng bahan api bersubsidi.

Sindiket itu turut dikesan memiliki lima fleet card Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) milik syarikat berbeza bagi ‘mencuri’ bahan api itu yang kemudian dijual semula dengan untung berganda.

Taktik licik itu bagaimanapun dihidu pihak berkuasa yang mengekori dan memerhati gerak-geri mereka di enam stesen minyak sepanjang Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sebelum dipintas pasukan KPDN.

Ketika ditahan, sindiket itu sudah memperoleh dan mengisi kira-kira 2,500 liter diesel bersubsidi ke dalam tangki khas yang diubah suai, lengkap dengan sistem pam untuk memindahkan minyak dari tangki asal lori terbabit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, dua lelaki berusia lingkungan 20-an disyaki ahli sindiket yang berperanan sebagai pemandu lori ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya KESAS itu lewat malam tadi.

“Berdasarkan maklumat risikan yang kita peroleh, modus operandi mereka menggunakan pelbagai jenis fleet card untuk mengisi diesel di stesen di sekitar Lembah Klang sebelum dibawa ke tempat penyimpanan.

“Kes terbaharu, pihak kita mengekori lori sepanjang lebuh raya (KESAS) dari satu stesen ke stesen yang lain,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, awal pagi ini, lapor Harian Metro.

Siasatan awal mendapati, dua suspek terbabit disyaki menyalahgunakan fleet card berkenaan untuk mengisi sekitar 100 liter ke 250 liter diesel bersubsidi di setiap stesen minyak terbabit.

Diesel yang dipam ke dalam tangki minyak asal lori dipindahkan ke tangki besar di bahagian kargo menggunakan sistem pam dan saluran ubah suai khas bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Tugas suspek ini hanyalah sebagai pekerja, mengutip minyak di stesen berkait dengan fleet card berkenaan. Setelah penuh muatan dalam tangki, ia akan dibawa ke satu lokasi.

“Di lokasi itu, pihak sindiket akan mengambil lori terbabit. Berdasarkan soal siasat, mereka dipercayai menerima upah RM300 bagi setiap tugasan (trip),” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img