Salah guna diesel bersubsidi, KPDN sekat 223 kad fleet sejak 2023 – Armizan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyekat sebanyak 223 kad fleet selepas dikesan berlaku penyalahgunaan dalam mendapatkan diesel bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, di bawah pelaksanaan semasa SKDS, sebanyak 23 kategori kenderaan pengangkutan darat barangan layak menikmati subsidi diesel dan jumlah 223 kad fleet yang disekat itu adalah sejak 2023 hingga 14 Mei lalu.

Menurutnya, kerajaan akan terus memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan tegas bagi memastikan mekanisme penggunaan kad fleet dalam penyaluran subsidi bahan api sentiasa dipatuhi.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan bagi mekanisme penggunaan kad fleet dalam penyaluran subsidi bahan api melalui SKDS dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

“Ini termasuk memperkukuh kerangka perundangan berkaitan kawal selia barang kawalan bersubsidi. KPDN kini sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas, menyeluruh dan teratur bagi pelaksanaan, pengawalseliaan serta penguatkuasaan penggunaan kad fleet.

“Antara lain, peraturan ini akan melibatkan aspek tanggungjawab pemegang kad fleet, syarikat minyak, selain menetapkan kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi,” katanya dalam sidang media sempena program Inspirasi Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan kewujudan pelbagai modus operandi membabitkan ketirisan dan penyelewengan diesel serta petrol melalui penyalahgunaan kad fleet.

“KPDN akan terus memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan di peringkat lapangan dan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kad fleet bagi tujuan penyelewengan subsidi diesel dan petrol akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img