CUBAAN seorang pemandu lori untuk menyeleweng diesel bersubsidi terbongkar apabila ditahan dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Sungai Besi, semalam.
Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia tidak memiliki dokumen sah untuk membawa barang kawalan berjadual iaitu bahan api diesel.
Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan bernilai RM51,500.
“Antara yang dirampas adalah sebuah motolori yang diubah suai dengan tiga tangki tambahan berkapasiti keseluruhan 3,000 liter serta 1,500 liter minyak diesel.
“Sekiranya tangki tambahan itu diisi penuh, kerugian subsidi kerajaan dianggarkan boleh mencecah RM11,880,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit membeli diesel di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang sebelum dibawa ke stor berhampiran untuk tujuan penyimpanan dan penyelewengan.
“Terdapat individu bertindak sebagai ‘runner’ yang membuat pembelian menggunakan kad armada (fleet card) selain melakukan bayaran secara tunai,” katanya.
Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas subsidi kerajaan, khususnya membabitkan ketirisan diesel bersubsidi.
“KPDN WPKL juga akan mengambil tindakan termasuk mencadangkan pembatalan atau penggantungan kelulusan fleet card terhadap pihak yang didapati menyalahgunakannya di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak KPDN bagi membantu membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan.


