ANGGOTA tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang menjadi mangsa dibelasah seorang koperal baru-baru ini akhirnya menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital di Temerloh, Pahang hari ini.
Bapa anggota tentera terbabit, Rosafindi Tambi Chik, 49, ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.
“Anak saya menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi pada jam 9.45 pagi. Jenazah akan dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas di Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Amirul Raziq parah dipercayai dipukul suspek berpangkat koperal disyaki berpunca ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan siasatan awal, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka dan perut tujuh anggota kem berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.
Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu.
Pada 6 April lalu, Koperal Sukry Tasu, 37, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anggota tentera lain di Mahkamah Sesyen Bentong.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.


