Bapa Allahyarham Amirul Raziq akui belum bersedia maafkan pelaku

BAPA kepada anggota tentera, Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi yang meninggal dunia akibat dibelasah seorang koperal selepas dua minggu koma semalam mengakui hatinya masih berat untuk memaafkan pelaku kejadian itu.

Meskipun begitu, Rosafindi Tambi Chik, 49, menyerahkan sepenuhnya siasatan dan keputusan kepada pihak berkuasa dan mahkamah.

“Dalam soal memaafkan, ketika ini saya rasa berat lagi. Bapa mana tak sayang anak, kita ada Tuhan. Dalam kes ini, kita boleh berfikir, kalau perkara itu (tuduhan) betul, biarlah dia tanggung dan kalau tak betul, kami reda dengan pemergian anak,” katanya sebak ketika ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Muhammad Amirul Raziq di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas awal pagi tadi.

Allahyarham Muhammad Amirul Raziq, 24, meninggal dunia semalam selepas dua minggu dalam keadaan koma akibat dibelasah di Kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja di Bentong, Pahang penghujung bulan lalu.

Pesara tentera itu ketika ditanya mengenai detik-detik pemergian anaknya berkata, dia diberitahu mengenai keadaan kritikal membabitkan anaknya yang sudah dua minggu menjalani rawatan oleh pihak hospital.

“Malam itu (ketika tiba di hospital), kami dimaklumkan keadaan anak tidak berapa stabil. Untuk perkembangan selanjutnya, kami diminta datang semula jam 8 pagi esoknya.

“Apabila kami sampai, doktor maklumkan anak dalam keadaan sangat kritikal dan minta saya serta ahli keluarga bersedia. Bagaimanapun sejam selepas itu, kami dimaklumkan anak sudah tak ada,” katanya.

Rosafindi berkata, berhubung hal kerja, arwah anaknya jarang memberitahu sebarang masalah atau apa-apa berkaitan tugasan dilakukan.

“Sebagai bekas tentera, saya faham sebagai anggota baharu dalam pasukan, banyak perkara perlu dia belajar dan perlu bersabar,” katanya.

Mengenai Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) yang didakwa menggunakan kekerasan terhadap arwah, katanya, dia hanya dimaklumkan individu itu telah ditahan dan ditempatkan di Penjara Bentong.

Sementara itu, rakan karib Allahyarham, Muhammad Afham Hafidz Adzhar, 24, menyifatkan arwah seorang yang peramah, periang dan amat disenangi.

“Saya terkilan tak sempat melawat arwah di hospital. Kali terakhir kami berhubung Ramadan lalu dan ketika itu dia memaklumkan kurang sihat seperti demam,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham mempunyai minat mendalam dalam bidang ketenteraan dan bercita-cita menyertai pasukan komando, namun tidak berjaya.

“Saya terkilan dengan kejadian yang menimpa arwah dan harap pelaku menerima hukuman setimpal,” katanya.

Ahmad Naqib Omar, 24, turut melahirkan rasa sedih dengan pemergian rakan karibnya itu yang sama-sama belajar di Kolej Vokasional.

“Saya rasa terkilan, sedih. Arwah sangat baik, ceria dan aktif dalam pelbagai aktiviti di kolej. Tak sangka kesudahannya begini kerana dia memang bercita-cita tinggi berkhidmat dengan tentera,” katanya.

Kejadianmenimpa Allahyarham itu dilaporkan berpunca daripada tindakan seorang anggota PTTR berusia 37 tahun yang didakwa menggunakan kekerasan akibat tidak berpuas hati berhubung penugasan yang diarahkan.

Berikutan kematian Allahyarham, polis memaklumkan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img