KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan tarikh tutup permohonan UPU Online bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilanjutkan sehingga Isnin 13 April depan pada jam 12 tengah hari.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata, langkah ini bagi memberi peluang kepada lepasan SPM 2025 membuat permohonan saat akhir dalam bidang pilihan masing-masing.

Tarikh tutup permohonan UPU Online bagi lepasan SPM 2025 sebelum ini dijadualkan tutup pada esok jam 5 petang.
“Saya ingin membuat pengumuman penting yang baru saja kita dapat kebenaran awal pagi tadi, saya diminta untuk memaklumkan bahawa dengan sukacitanya Menteri Pendidikan Tinggi bersetuju bahawa tarikh tutup permohonan UPU Online bagi lepasan SPM yang dijadualkan pada esok 12 April jam 5 petang dilanjutkan kepada 13 April iaitu Isnin, jam 12 tengah hari.
“Walaupun tempohnya tidak panjang, tetapi cukup untuk memberi peluang selama satu hari bagi membolehkan anak-anak di luar sana dalam waktu terakhir untuk memohon ke UPU Online.
“Jadi saya harap maklumat ini sampai kepada semua sekolah, pastikan anak-anak di rumah, ibu bapa memastikan anak-anak memohon seawal hari ini, esok dan sehingga 13 April sebelum jam 12 tengah hari,” katanya ketika berucap pada Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Utara di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok hari ini.
Azlinda bagaimanapun mengingatkan supaya permohonan terbabit dibuat lebih awal bagi mengelak sistem UPU Online sesak akibat peningkatan pengunaannya secara serentak oleh pemohon.
Katanya, calon lepasan SPM perlu mendapatkan maklumat tepat berkaitan program diminati bagi memudahkan dan membolehkan mereka membuat permohonan di sistem UPU Online.
“Untuk makluman semua, setakat ini jumlah permohonan diterima UPU Online untuk kategori lepasan SPM adalah 283,524 calon, manakala bagi lepasan SPTM dan setaraf pula 112,488 calon.
“Ia menunjukkan keseluruhan permohonan diterima sebanyak 351,012 calon dengan jumlah keseluruhan pembelian nombor pin UPU Online 379,578 orang.
“Angka ini jelas menunjukkan minat dan kepercayaan tinggi dalam kalangan generasi muda terhadap peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi masih lagi tinggi,” katanya.


