KOR Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memberi amaran bahawa sebarang percubaan kapal tentera untuk melalui Selat Hormuz akan dikenakan tindakan tegas.
Dalam satu kenyataan, IRGC menegaskan bahawa pasukan lautnya mempunyai kawalan penuh dan pintar ke atas laluan strategik berkenaan.
Menurut kenyataan itu, hanya kapal awam dibenarkan melalui selat tersebut dan itu pun tertakluk kepada syarat tertentu.
IRGC turut menafikan laporan media mengenai kapal Amerika Syarikat yang didakwa melalui Selat Hormuz, sambil menegaskan bahawa “sebarang percubaan kapal tentera untuk melaluinya akan ditangani secara tegas dan muktamad.”
Terdahulu, Angkatan Tentera Iran turut menolak dakwaan United States Central Command (CENTCOM) berhubung operasi kapal Amerika di selat tersebut.
Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbia pada Sabtu berkata, dakwaan bahawa kapal Amerika menghampiri dan memasuki Selat Hormuz adalah tidak benar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa angkatan tentera Iran mempunyai kelebihan dalam mengawal pergerakan mana-mana kapal yang melalui laluan berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas CENTCOM mendakwa pasukannya telah memulakan langkah mewujudkan laluan baharu bagi tujuan pembersihan periuk api di Selat Hormuz pada 11 April, dengan dua kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut Amerika Syarikat menjalankan operasi.
Komander CENTCOM, Brad Cooper, berkata usaha itu bertujuan memastikan laluan selamat untuk industri maritim serta menggalakkan kelancaran perdagangan global.


