KEMELUT berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim, yang mencetuskan persoalan mengenai institusi pemerintahan negeri dan keabsahan pelantikan Undang, disifatkan telah menemui titik penyelesaian.
Bagaimanapun, perkembangan itu kini membuka persoalan baharu mengenai integriti kepemimpinan UMNO, khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Penganalisis, Tajuddin Rasdi, berkata kenyataan Ismail selepas menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menunjukkan kesediaan beliau untuk akur kepada keputusan dan tatakelola Dewan Keadilan dan Undang dalam segala urusan berkaitan adat serta pentadbiran negeri.
Beliau berkata, pendirian itu juga memperlihatkan bahawa politik kepartian tidak seharusnya mencampuri urusan berkaitan institusi adat dan pemerintahan negeri.
“Alhamdulillah, sebagai rakyat yang mengikuti perkembangan ini, saya bersyukur kerana kebenaran akhirnya mendapat tempat, sekali gus meredakan kekeliruan yang sekian lama menyelubungi Negeri Sembilan.
“Namun, berakhirnya kemelut perlembagaan ini membuka satu lagi persoalan yang tidak kurang serius, bukan sahaja kepada rakyat Negeri Sembilan, malah seluruh negara,” katanya dalam artikel yang disiarkan oleh FMT.
Menurutnya, persoalan berkenaan menyentuh integriti pucuk pimpinan UMNO, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua pemimpin terbabit turut memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, keadaan itu menuntut penjelasan terbuka berhubung pengumuman surat peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar yang sebelum ini dibuat oleh Zambry.
Katanya, Ismail secara terbuka menafikan pernah menghantar atau memberikan persetujuan terhadap surat peletakan jawatan yang diumumkan Setiausaha Agung BN itu.
“Penafian itu menimbulkan persoalan besar. Mengapa surat berkenaan diumumkan kepada umum? Siapa yang menyediakannya dan atas kuasa siapa ia dikemukakan? Mengapa pula proses itu seolah-olah mendahului perkenan Yang Dipertuan Besar?” katanya.

Tajuddin berkata, persoalan itu tidak wajar dipertanggungjawabkan hanya kepada Zambry kerana Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, percanggahan antara penjelasan pemimpin terbabit dengan kenyataan Ismail perlu diperjelaskan bagi mengelakkan kemelut itu terus menjejaskan keyakinan rakyat.
Beliau mengemukakan tiga persoalan utama yang memerlukan jawapan, iaitu siapa sebenarnya yang menulis atau menyediakan surat peletakan jawatan Ismail yang diumumkan Zambry.
“Kedua, benarkah penjelasan Zahid bahawa Ismail tidak memberikan sebarang alasan kepadanya berhubung peletakan jawatan itu, atau adakah penjelasan tersebut berpunca daripada salah faham atau maklumat yang tidak tepat?
“Ketiga, mengapakah Zahid dan UMNO masih mengemukakan nama calon Menteri Besar baharu untuk perkenan Tuanku Muhriz, sedangkan terdapat kenyataan bahawa baginda memperkenankan Ismail meneruskan tugasnya?” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Zambry dan Zahid memberikan penjelasan jelas, menyeluruh dan meyakinkan terhadap ketiga-tiga persoalan berkenaan.
Menurutnya, penjelasan itu penting bukan sekadar untuk mempertahankan nama baik pemimpin terbabit, tetapi juga memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti mereka yang diberikan amanah mentadbir negara.
Tajuddin berkata, kemelut berkenaan juga perlu diperhalusi bagi menentukan sama ada ia berpunca daripada perancangan tertentu atau sekadar salah faham dan kegagalan komunikasi antara pihak berkepentingan.
“Jika benar ia hanya salah faham, penjelasan yang ikhlas dan permohonan maaf sepatutnya memadai untuk membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan.
“Tetapi jika terbukti kemelut ini dirancang, sama ada oleh pihak politik, pihak adat atau kedua-duanya, kesannya jauh lebih besar daripada sekadar perebutan kuasa di sebuah negeri,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi adat, keluhuran perlembagaan dan integriti parti yang mempunyai sejarah panjang dalam pembentukan negara.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin politik bahawa perkembangan teknologi maklumat dan media sosial menjadikan usaha menyembunyikan sesuatu perkara semakin sukar.
Katanya, maklumat yang kelihatan kecil sekalipun boleh mencetuskan pendedahan lebih besar sehingga memberi kesan terhadap kedudukan seseorang pemimpin.
“Apabila kepercayaan mula terhakis, penyokong sendiri boleh menjadi serik, manakala rakan politik pula mungkin memilih untuk menjauhkan diri. Sebab itulah integriti tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan dalam percaturan politik. Ia merupakan asas kepercayaan rakyat terhadap seseorang pemimpin,” katanya.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, pemimpin politik perlu memahami bahawa masyarakat kini lebih peka terhadap ketelusan dan tanggungjawab mereka yang diberikan amanah.
Beliau turut menegaskan rakyat memerlukan pemimpin yang boleh dipercayai, berintegriti serta menghormati sumpah perkhidmatan kepada rakyat dan kesetiaan kepada Raja-raja Melayu.
“Kalau nak ‘bubar-bubar’, lebih baik ‘keluar-keluar’ kerana kami perlukan pemimpin yang boleh dipercayai dan berintegriti kepada sumpah khidmat kepada rakyat semua serta sumpah ketaatan kepada Raja Melayu,” katanya.





