SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun yang dikesan membaling bata dan kerusi plastik dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, keterangan remaja itu diambil selepas polis menerima laporan kelmarin, daripada Pengerusi Persatuan Penduduk PPR terbabit, susulan insiden itu.
“Siasatan awal mendapati, remaja lelaki tempatan berusia lingkungan 13 tahun dipercayai membaling batu dan kerusi plastik di kawasan blok perumahan itu.
“Tindakan ini menimbulkan kegusaran dan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, remaja berkenaan bersama ibu bapanya hadir ke balai polis untuk diambil keterangan, bagi membantu siasatan dan tiada penahanan dilakukan.
“Polis mengesahkan tiada sebarang kecederaan dialami oleh mana-mana individu dalam insiden ini,” tambahnya.
Sebelum ini media melaporkan, klip video tular berdurasi 34 saat memaparkan seorang remaja lelaki dilihat berjalan di laluan bangunan, sebelum berhenti dan mengambil seketul bata di hadapan salah sebuah rumah dan membalingnya ke bawah.


