ORANG ramai disaran menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian berbanding berurusan secara fizikal di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menyediakan 49 perkhidmatan digital yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja, sekali gus membantu langkah penjimatan terutama ketika harga bahan api tinggi akibat konflik di Asia Barat.

“Untuk makluman, sebanyak 33 jenis urus niaga boleh dilaksanakan melalui Portal Rasmi JPJ www.jpj.gov.my, manakala 16 jenis urus niaga lagi boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih MyJPJ.
“Orang ramai digalakkan untuk menggunakan platform ini bagi urusan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, JPJ mengambil maklum situasi di Asia Barat dan impaknya ke atas ekonomi global serta kesan langsung kepada kenaikan harga bahan bakar di Malaysia.
“JPJ kekal komited dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui perluasan penggunaan platform digital seperti Portal Rasmi JPJ dan aplikasi MyJPJ.
“Pendekatan ini bukan sahaja menyokong agenda penjimatan tenaga negara, malah memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan mesra rakyat,” katanya.
Antara perkhidmatan ditawarkan secara dalam talian termasuk pembaharuan Cukai Kenderaan Motor (LKM), salinan dan cetakan semula maklumat kenderaan, cabutan maklumat kenderaan, permohonan henti operasi (lay up) sementara dan permohonan pertukaran hak milik kenderaan.


