DUA kenderaan milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelewek di Tanah Merah dilarikan oleh sekumpulan empat hingga lima suspek yang memecah masuk kawasan premis pejabat agensi itu, awal pagi tadi.
Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 pagi apabila seorang petugas keselamatan telah didatangi kumpulan suspek sebelum tangan dan kakinya diikat.
Beliau berkata, dua buah kenderaan yang dilarikan adalah sebuah Mitsubishi Triton berwarna kelabu hitam dan sebuah Toyota Fortuner berwarna hitam.
“Suspek juga dipercayai cuba melarikan sebuah lagi kenderaan jenis Nissan Navara milik jabatan, namun cubaan itu gagal,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Difahamkan, penjenayah turut melarikan beg duit milik pengawal keselamatan mengandungi wang tunai RM300 serta kunci motosikal milik mangsa.
Menurut Che Samsuzuki, berdasarkan maklumat awal diperolehi, kedua-dua kenderaan tersebut dipercayai telah dibawa ke Thailand.
“Kes ini kita telah laporkan kepada pihak polis dan ia masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.


