PELUMBA utama JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan prestasi cemerlang apabila menguasai sepenuhnya pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Dalam saingan Perlumbaan 2 kelas ASB1000, pelumba berusia 32 tahun itu sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan teratas dengan kelebihan sekitar empat saat berbanding pencabar terdekat.

Menurut Hafizh, kejayaan tersebut hadir di luar jangkaannya, namun mengakui kekuatan pasukan menjadi faktor penting yang mendorong pencapaian membanggakan itu.
“Saya bersyukur dengan keputusan ini. Jurang kemenangan agak mengejutkan, tetapi saya yakin kami sememangnya mampu bersaing di kelompok hadapan.
“Saya hanya memberi tumpuan untuk kekal tenang serta memahami jentera dengan lebih mendalam. Hujung minggu ini memang cukup bermakna. Terima kasih kepada pasukan dan para penyokong,” katanya.
Kemenangan itu melengkapkan aksi cemerlang Hafizh selepas turut menjuarai Perlumbaan 1 yang berlangsung semalam.
Sementara itu, pelumba dari Jepun, Keito Abe mewakili pasukan SDG HARC-PRO Honda menamatkan saingan di tempat kedua, manakala rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar berada di kedudukan ketiga.
Dalam pada itu, Hafizh turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada pemilik pasukan, Tunku Mahkota Ismail sempena kelahiran cahaya mata baharu baginda.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tunku Mahkota Ismail atas kelahiran putera baginda. Kemenangan ini khas buat baginda.
“Terima kasih juga kepada seluruh peminat di Malaysia yang tidak pernah putus memberikan sokongan,” ujarnya.
Keputusan cemerlang itu menyaksikan Hafizh kini mendahului carta keseluruhan ASB1000 dengan kutipan 50 mata, diikuti Abe (40 mata) dan Andi (32 mata).


